Multimedia dalam Bidang Pendidikan
Oleh: sifoo

Jika diperhatikan kebelakangan ini, bidang pendidikan di Malaysia sudah pun melangkah ke hadapan dengan menggunakan elemen-elemen ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran. Usaha ini dikuatkan lagi dengan adanya projek Multimedia Super Corridor (MSC) oleh kerajaan Malaysia. Salah satu flagship yang terdapat di dalam MSC adalah projek Smart School.
Smart School menggunakan kaedah pembelajaran terkini yang dijalinkan dengan elemen-elemen ICT seperti Internet, CD-ROM, dan Multimedia. Dengan elemen-elemen baru ini diharapkan supaya pembelajaran di sekolah akan menjadi lebih menarik dan lebih berkesan. Persoalannya, bagaimana hendak menjadikannya sebagai satu kaedah tambahan yang berkesan di dalam kurikulum pendidikan? Apakah itu multimedia? Baguskah program yang digunakan?
Multimedia, jika dilihat daripada segi bahasa membawa maksud ‘banyak media’ atau ‘pelbagai media’ – biasanya terdiri daripada teks, grafik, audio, video, dan animasi. Sebagai contoh, sebuah laman web statik boleh dikira sebagai sebuah multimedia kerana menggunakan teks dan grafik. Walaubagaimana pun, multimedia lebih kerap digunakan kepada web atau CD yang mempunyai audio, animasi dan video.